Monday, March 24, 2008

Tunggu dulu Abah...

Sabtu lalu, 22 March 2008, jam 5.45 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari Kuala Kangsar. Adalah sesuatu yang amat menakutkan jika saya mendengar deringan telefon di waktu tengah malam atau subuh hari. Saya tahu jika tiada kecemasan, tidak mungkin ada sesiapa yang akan menelefon saya pada waktu itu.

Adik lelaki saya, Shariman memberitahu yang Abah sesak nafas. Pada waktu itu, Man telah menghantar Abah ke wad kecemasan Hospital Kuala Kangsar. Saya arahkan Man untuk meletakkan telefon di telinga Abah, saya cuba bertanya tetapi Abah tidak mampu bersuara. Saya cuba untuk bertahan agar tidak panik.

Kemudian adik perempuan saya, Sarina pula menelefon...kali ini saya tidak dapat menahan diri dari menangis kerana Nini teresak-esak memberitahu yang Abah nampak seperti tidak dapat bernafas dan doktor serta jururawat sedang mengerumuni Abah. Saya cuba menenangkan adik-adik yang sedang panik serta tidak keruan. Man juga menangis ketika memberitahu keadaan Abah tapi saya katakan pada Man agar bersabar, namun kalaulah mereka tahu betapa risaunya saya dan betapa terkilannya saya kerana tidak ada di Kuala Kangsar pada ketika itu. Saya hanya mampu mengalirkan airmata tanpa suara dengan perasaan yang amat sedih kerana tidak berada di sana untuk bersama-sama mereka.

Didalam hati, saya berdoa semoga Allah panjangkan lagi usia Abah. Belum...saya belum lagi bersedia untuk melepaskan Abah kerana saya masih lagi mahu Abah bersama kami, adik-beradik yang telah hampir 20 tahun kehilangan mak...kami belum lagi bersedia untuk hidup tanpa Abah...

Alhamdullilah, seketika kemudian keadaan Abah semakin stabil. Saya sekeluarga menuju ke Kuala Kangsar dengan debaran setiap saat. Saya amat kagum dengan anak saya, Deni, yang dengan tenang bertanya mama nya yang tidak keruan. Deni juga berjaga dari subuh dan membantu mengejutkan adiknya Amir dari tidur. Tanpa disuruh, Deni mengemas diri dan mengajak Amir untuk menunggu di ruang tamu sementara menanti saya mengemas pakaian. Betapa anak-anak saya telah meningkat dewasa dan memahami.Saya juga kagum dengan "yang tersayang" kerana beliau amat tenang dan mengarahkan saya supaya berkemas dan bersedia untuk bertolak pulang ke Kuala Kangsar.

Sebaik kami sampai di Kuala Kangsar, Kamri terus memandu menuju ke Hospital dan saya amat bersyukur kerana Abah telah stabil. Terima kasih kepada Che Ma kerana berada di sisi kami adik beradik semasa kesusahan. Che Ma satu-satunya emak saudara kami yang menjadi tempat kami bergantung harap untuk menjadi rujukan kami sekeluarga. Walaupun arwah mak telah lama telah meninggalkan kami, sebagai adik bongsu arwah mak, Che Ma tak pernah melupakan kami dan selalu membantu kami untuk mengharungi perjuangan Abah yang selalu sakit-sakit.

Alhamdullilah, hari ini, Isnin, 24 March 2008, Abah telah dibenarkan keluar dari hospital setelah doktor mendapati keadaan Abah yang telah beransur pulih. Walaupun saya tidak dapat bersama adik-beradik kerana telah kembali ke Kuala Lumpur semalam, namun saya amat bersyukur kerana mempunyai adik-beradik serta ipar yang amat mengambil berat akan keadaan kesihatan Abah.

Saya selalu berpegang kepada perumpamaan, jika kita menjaga ibubapa kita, insyaallah kehidupan kita akan diberkati Allah dan percayalah, segala kesenangan serta kemudahan yang diberikan kepada kita ada bersangkut-paut dengan kebajikan kita terhadap ibubapa serta keluarga. Semoga abah dipanjangkan umur, kerana kami masih belum puas lagi untuk membalas jasa abah yang membesarkan kami terutama setelah arwah mak meninggalkan kami. Tunggu dulu Abah.....Semoga Allah memberi peluang kepada kami dan memanjangkan usia Abah.


No comments: