Salam buat warga Kuala Kangsar,
Sebagai warga Kuala Kangsar, saya sebenarnya berbangga dengan Rafidah Aziz yang dikenali sebagai wanita cerdik pandai yang setelah sekian lama membawa nama "Wakil Rakyat" Kuala Kangsar di Parlimen. Namun dengar cerita masa pengiraan undi PRU 2008 kali ini, team beliau agak goyang setelah berita kekalahan Samy Vellu di Sungai Siput telah diketahui terlebih dahulu. Namun rezeki masih berpihak kepada beliau walaupun dengan majoriti yang agak rendah iaitu 1,458 berbanding 6,191 undi pada 2004. Seramai 10,735 telah memangkah Rafidah namun harus di ingat 9,277 menolak beliau.
Walaupun saya tidak lagi bermastautin di Kuala Kangsar tetapi bapa serta adik-beradik saya yang lain masih lagi menetap dan bekerja di sana. Memang tekad saya untuk keluar dari Kuala Kangsar kerana peluang pekerjaan di Kuala Kangsar masih lagi agak terhad di samping tangga gaji yang amat rendah membuatkan ramai yang keluar untuk mencari rezeki di kota besar dan mengepam kembali wang gaji kepada ahli keluarga di Kuala Kangsar untuk meringgankan beban mereka.
Mungkin warga Kuala Kangsar masih lagi setia dengan Rafidah Aziz kerana sentimen setia kepada BN masih lagi kuat berbanding tempat lain. Namun, lakukanlah sesuatu supaya taraf ekonomi di Kuala Kangsar meningkat. Jangan biarkan anak jati Kuala Kangsar lari dari tempat itu kerana tidak sanggup hidup di takuk lama. Kembangkan industri pelancongan di tempat kami. Usaha yang ada tidak mencukupi. Tidak memberi impak yang cukup besar yang dapat menaiktaraf ekonomi penduduk secara keseluruhan. Bangunkan kawasan kami. Beri peluang pekerjaan yang lebih kepada anak jati Kuala Kangsar sendiri.
Memandangkan DUN Bukit Chandan & Manong adalah dari BN juga, saya mahukan wakil rakyat kami bekerja dengan lebih kuat untuk kawasan kami. memandangkan BN kini adalah pembangkang di dalam DUN Perak, jangan biarkan kami ketinggalan di dalam perancangan pembangunan.
Kuala Kangsar adalah sebuah bandar yang sangat cantik dan mendamaikan. Memang di akui rata-rata penduduk selesa dengan kehidupan yang mereka jalani di sana, namun dengarkan rintihan mereka yang berpendapatan rendah dan berharap yang Kuala Kangsar dapat mengubah corak hidup mereka tanpa perlu keluar berhijrah ke bandar lain yang lebih pesat membangun.
Saya juga berharap satu hari nanti, apabila saya telah menunaikan tanggungjawab saya membesarkan anak-anak dan memberi pelajaran yang sempurna kepada mereka, saya akan kembali untuk bermastautin di Kuala Kangsar.
Sunday, March 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment